Tuesday, 6 December 2011

3. Kemahiran Tulisan

 3.1. DEFINISI

 Tulisan ialah lambang-lambang bunyi bahasa yang telah dipindahkan dalam bentuk grafik bagi melahirkan perasaan, fikiran dan idea. Menulis adalah proses memindahkan lambang-lambang bunyi yang tersusun dan teradun bagi melahirkan bunyi-bunyi yang bermakna serta dijadikan alat komunikasi.

3.2. PERANAN TULISAN

Untuk mendirikan asas yang kukuh supaya seseorang kanak-kanak itu dapat melahirkan idea, fikiran serta perasaan dengan baik, pantas dan cekap.

Untuk membolehkan kanak-kanak menyusun huruf-huruf menjadi sukukata, perkataan dan ayat sebagai alat komunikasi dalam kelompok masyarakat.

Untuk membolehkan kanak-kanak berkemahiran dalam satu lagi komponen bahasa dan meluaskan pengetahuan, perhubungan serta matlamat hidup.

Untuk menyediakan, menyemai, mengasah serta mengukuhkan minat serta bakat kanak-kanak sebagai memenuhi kehendak masyarakat moden (kerana membaca, menulis dan mengira adalah sebahagian daripada asas utama keperluan hidup masa kini).

Untuk menghasilkan bentuk-bentuk penulisan kreatif seperti pantun, syair, sajak lain-lain bentuk puisi dan prosa yang dapat memberikan kepuasan jiwa dalam pemikiran, perasaan bukan sahaja diri kanak-kanak itu sendiri, bahkan juga seluruh insan umumnya.


3.3 PERINGKAT-PERINGKAT PERKEMBANGAN BAHASA

3.3.1 Pra Tulisan

Pra tulisan merupakan satu peringkat yang perlu dilalui oleh kanak-kanak bagi menyediakan diri ke arah melahirkan lambang-lambang bunyi khusus yang diterima oleh kelompok masyarakat. Pada peringkat awal kanak-kanak membuat contengan di atas permukaan benda-benda yang sedia ada dalam persekitaran mereka dengan menggunakan bahan-bahan yang boleh meninggalkan kesan ke atas permukaan benda tersebut.

Peringkat contengan ini perkembangan dari membuat contengan bebas hingga ke peringkat contengan terkawal. Peringkat pra tulisan ini adalah bagi kanak-kanak mendapatkan latihan otot, tangan,jari serta kordinasi mata tangan. Peringkat pra tulisan perlu menitikberatkan perkara-perkara berikut:

1. Melakukan latihan-latihan pergerakan tangan dan jari melalui aktiviti seperti menggunting, mengoyak, menganyam, menampal, menguli tepung dan lain-lain.

2. Menguasai gerak tangan bebas, cara memegang alat tulis, cara duduk dan sebagainya supaya boleh menulis dengan sempurna dan selesa.

3. Melakukan latihan-latihan pergerakan mata dari kiri ke kanan, dari atas ke bawah dan lain-lain.

4. Melakukan latihan-latihan keselarasan (koordinasi) mata dan tangan.

3.3.2 TULISAN MEKANIS

Setelah kanak-kanak melalui proses pra tulisan , sepatutnya mereka telah faham dan boleh memegang pensel serta cara duduk yang betul dan selesa . Tulisan mekanis merupakan peringkat kedua yang patut didedahkan kepada murid-murid. Sebagai permulaan untuk memberi kemahiran dalam penulisan mekanis murid-murid diminta. membentuk huruf-huruf pada permukaan kertas kosong tanpa garisan. Setelah kemajuannya didapati memuaskan barulah latihan membentuk huruf diberikan. Bermula
dengan ruang garisan yang lebar / luas membawa kepada lembaran bergaris kecil / sempit.

Latihan-latihan tulisan mekanis diharapkan murid-murid akan dapat :

- Kemahiran mengawal dan memegang pensel.
- Meneliti, mengenal, menyalin bentuk-bentuk huruf mengikut urutan.
- Mendapat kesedaran tentang perkaitan bunyi dengan tulisan.

3.3.3 TULISAN KREATIF

Peringkat ini merupakan peringkat tertinggi dalam proses menulis. Di peringkat ini kanak-kanak diharapkan dapat menggunakan kemahiran yang diperolehi di peringkat mekanis untuk menggunakan daya kreatif untuk :

- Membina ayat.
- Mengarang cerita.
- Mengarang pantun, sajak, teka-teki dll.
- Menulis surat kiriman.
- Lain-lain yang berkaitan.

3.4. MASALAH TULISAN DI KALANGAN KANAK-KANAK PEMULIHAN

- Perkataan ditulis terlalu rapat di antara satu dengan lain.
- Bentuk-bentuk huruf ditulis terlalu condong.
- Tiada keseragaman jarak di antara huruf dengan huruf atau di antara perkataan dengan perkataan
- Bentuk-bentuk huruf yang tidak jelas / tepat / betul.
- Menulis tanpa mengikut garisan-garisan yang ditentukan,
- Mencampur adukkan huruf besar dengan huruf kecil.
- Masalah pembalikan huruf atau perkataan.
- Huruf-huruf tidak ditulis mengikut posisi (kedudukan ) yang sepatutnya.
- Menulis dengan meninggalkan huruf, perkataan atau imbuhan.
- Menulis melampaui garisan ruang muka surat yang ditentukan.
- Menulis huruf-huruf di dalam perkataan secara bertindih.
- Mengulang garis-garis huruf yang ditulis.
- Menulis mengikut arah dari kanan ke kiri.
- Menulis huruf atau perkataan mengikut urutan yang salah.
- Menulis atau menyalin ayat tanpa mengikut tertib yang betul.


3.5. CARA-CARA MENGATASI MASALAH TULISAN
Memberi latihan dan pengukuhan yang secukupnya dalam peringkat-peringkat permulaan dan mendirikan asas.

Memberikan penerangan, tunjuk cara serta contoh-contoh yang jelas dan betul, sesuai dengan tahap keupayaan murid secara individu supaya dapat diikuti dengan mudah.

Guru adalah model atau contoh yang menjadi ikutan murid-murid. Tulisan dan cara-cara guru menulis contoh yang akan disalin oleh murid-murid hendaklah dibuat dengan teliti dan betul.

Kad-kad tulisan dan lembaran-lembaran kerja bertulis perlulah disediakan dengan sempurna.

Seberapa boleh banyakkan latihan dan berikan bantuan individu.

Pertimbangan harus dibuat bagi menentukan ketika sesuai seseorang kanak-kanak. Itu tidak digalakkan lagi untuk menggunakan getah pemadam.

No comments:

Post a Comment